Bagaimana seorang lelaki dapat menjadi pelindung terbaik bagi wanita? Adakah dengan menghubungi wanita itu selalu, bertanyakan khabar, mengajaknya pergi makan supaya dia tahu si gadis makan mengikut masa, atau dengan mengucapkan kata-kata sayang?
Saya hendak berkongsi sebuah kisah benar berkenaan seorang sahabat yang sering risau akan keadaan dirinya yang masih single and available. Risau bila dikatakan tidak mengikuttrend. Risau bila huluran ikhlasnya tidak disambut oleh gadis yang dipuja. Sering merasakan dirinya LOSER kerana kononnya tak ada perempuan nak mahu padanya, sikit-sikit kena rejectsaja. Geli hatiku. Sampai begitu sekali fikirannya parah.
Persoalannya, adakah dengan SMS selalu, rajin bertanya khabar, dan rajin segala dapat menjamin dia menjadi pelindung atau hero paling hebat kepada wanita tersebut? Sekali kita mulakan langkah. pasti akan membawa kepada langkah seterusnya. One thing leads to another.Silap-silap lebih menjadi perosak daripada pelindung.
"Merosakkan?"
Yalah. Merosakkan dengan menambah saham dosa yang ditanggung oleh perempuan. Pelindungkah?
Mahu menjadi pelindung? Mintalah pertolongan kepada Allah semoga Dia sentiasa melindungi. Kita hanya manusia biasa yang tidak berdaya. Di saat anda masih belum mampu, cukuplah dengan meminta Dia yang melindungi dan memerhati. Kita manusia dengan pelbagai keterbatasan, takkan mampu untuk menjadi superhero paling sempurna kerana tiada yang sempurna melainkan-Nya. Jadilah lelaki pintar yang sentiasa bijak menilai.
Wahai ar-rijal, bangkitlah kalian. Anda dikurniakan kelebihan berbanding kami, gunakanlah kelebihan tersebut. Janganlah ambil sifat kami. Kami insan lemah, anda yang harus kuat!
Soallah diri kita, kenapa kita masih belum mampu melaksanakan suruhan-Nya sedangkan kita tahu apa yang benar?
Soallah diri kita, apa guna kita mengharap syurga seandainya perintah yang disuruh-Nya tidak mahu dilakukan malah dipandang sipi dan diabaikan?
Soallah diri kita, jika setiap muslim sudah dijanjikan syurga, yakinkah kita akan meninggalkan dunia ini dengan husnul khatimah? Yakinkah kita akan meninggalkan dunia sebagai muslim? Yakinkah kita syurga milik kita? Yakinkah?
Soallah diri kita, andaipun syurga dijanjikan kepada kita, sanggupkah kita mengharungi neraka sebelum menjejak ke syurga lantaran "hutang" kita terhadap Sang Pencipta yang belum langsai? Sanggupkah?
Daripada Abu Hurairah r.a beliau berkata Rasulullah SAW telah bersabda, maksudnya:"Sesungguhnya Allah Ta'ala baik, Dia tidak menerima kecuali perkara yang baik. Dan sesungguhnya Allah telah memerintahkan orang-orang mukmin dengan apa yang telah diperintahkan kepada para Rasul di mana Allah Ta'ala berfirman: (Wahai para Rasul!) Makan minumlah kamu makanan yang baik-baik dan hendaklah kamu beramal soleh. Dan Allah Ta'ala berfirman: (Wahai orang-orang yang beriman!) Makan minumlah kamu makanan yang baik-baik yang Kami rezekikan kepada kamu. Kemudian Baginda menyebut perihal seorang lelaki yang bermusafir jauh, yang berambut kusut masai dan berdebu, yang menadah tangan ke langit (iaitu berdoa): Wahai Tuhanku! Wahai Tuhanku! Bagaimanakah doanya akan dimakbulkan sedangkan makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram dan dia dikenyangkan dengan makanan yang haram?" (Hadis riwayat lmam Muslim)
Bagaimana mungkin doa kita untuk ke syurga dimakbulkan andainya Allah memalingkan pandangan-Nya daripada kita lantaran 'haram' yang kita 'halal'kan? Kita yang muda kena sentiasa beringat bahawa kita merupakan harapan agama. Banyak lagi cabaran yang harus dihadapi dalam hidup ini, banyak lagi tanggungjawab yang menanti. Tolaklah ketepi perkara-perkara remeh yang tidak membawa manfaat kepada diri dan 'kawan' melainkan KEROSAKAN sahaja.
Fikirkan dengan akal, renungkan dengan hati. Tolak tepi nafsu di hati yang mengaburi hati kita daripada menilai yang baik dan buruk, kerana hati tidak pernah menipu.
Wabishah bin Ma'bad berkata: Aku mendatangi Rasulullah, dan baginda bertanya "Engkau datang untuk bertanya tentang kebajikan?"
Aku menjawab, "Ya, benar."
Baginda bersabda, "Tanyakan pada hatimu sendiri! Kebaikan adalah sesuatu yang membuat jiwamu tenang dan hatimu tenteram, sedangkan dosa adalah sesuatu yang menimbulkan keraguan dalam jiwa dan rasa gundah dalam dada, meski telah berulang kali manusia memberi fatwa kepadamu."
(Hadis riwayat Imam Ahmad)
Tiada gunanya segala apa yang diperkatakan andainya hati kita tertutup daripada kebenaran. Bersihkanlah hati kita, sesungguhnya itulah anggota yang paling berharga. Disebabkan kerosakan hati itulah berlakunya kerosakan-kerosakan yang lain. Rajin-rajinkanlah membersihkan hati.