Who's On9 Now?

....Amanda Imani....


TAHUN 2011 diibarat tahun bertuah gadis berwajah seksi tinggi lampai ini. Selain berjaya merangkul dua anugerah - Bakat Muda Terbaik dan tempat ke-2 Lagu Asal Terbaik untuk Selamilah Cinta di World Association of Festivals dan Artists (Wafa) di Bulgaria pada Mei lalu, Amanda Imani Iskandar turut menambah profil kejayaan apabila menang kategori Vokal Terbaik (Artis Baru Wanita) di Anugerah Planet Muzik (APM) di Singapura, baru-baru ini.

Ada yang menyifatkan perjalanan kerjaya seninya terlalu perlahan. Ibarat kelam dalam cahaya suram sehingga terpaksa merangkak setapak demi setapak mencari ruang jelas. Dan apabila cahaya semakin bersinar, Amanda bangkit dengan penuh gaya.



“Walaupun tidak banyak perubahan yang dialami selepas pulang dari Bulgaria, tetap ada peningkatan terutamanya sebagai penyanyi. Biarpun agak lambat untuk nama dikenali, saya gembira sebab dapat tingkatkan diri sendiri.

“Selain itu, saya rasakan rezeki pada 2011 ini juga lebih baik. Tahun ini saya sudah capai banyak perkara. Selain kejayaan di Bulgaria, saya tidak sangka dapat membuat persembahan, dicalonkan dan menang di APM lalu,” jelas penyanyi ini.


Tawa gembira penuh cerianya ada makna tersendiri buat gadis remaja ini. Sejak muncul dengan tiga album termasuk sebuah album Inggeris hampir setahun lalu, tidak ramai memandangnya secara serius. Jika ada sekalipun, ia sekadar melepas batuk di tangga ibarat mengintai dari celah tingkap.

Bukan tidak ada yang mahu memandang tapi bagai ada kekurangan yang tidak jelas.
Ada yang berpendapat Amanda kurang popular dek berat mulut tatkala bertemu media. Malah ada yang menuduhnya sombong atau perkataan lebih dekat ‘kekwat’.

Pantas sahaja mulutnya bersuara tatkala istilah ‘kekwat’ dilontarkan kepadanya.
Nada balasnya bukan tegang atau marah, tapi penuh keceriaan dan berlapik penuh sopan. Positif dengan gelaran mahupun istilah itu yang dilemparkan kepadanya.

“Saya bukan ‘kekwat’,” jelasnya ketawa.

“Sebenarnya saya sudah cuba untuk mesra dengan semua orang termasuk pihak media. Mungkin orang salah faham dengan cara pembawaan diri saya. Saya diam bukan kerana sombong tapi pemalu.

“Saya seorang pendiam dan tidak pandai memulakan bicara. Tapi apabila orang sudah mula mengenali siapa saya, mereka akan tahu Amanda bukan ‘kekwat’,” jelasnya lagi.

Tidak berkecil hati mahupun terguris dengan label ‘kekwat’, Amanda akur namun tidak pernah putus asa untuk berubah dan sering membaiki diri supaya lebih mudah didekati.

Hampir setiap acara mahupun majlis membabitkan media dan artis, Amanda akan bersama-sama memeriahkannya. Amanda tidak pernah lupa peranan media. Bagi gadis berbintang Capricorn ini, media antara pihak yang banyak menyokong kerjaya seninya selama dia mula bertatih di dalam industri hiburan.

Mungkin alasan agak klise tapi jauh di sudut hati, Amanda akui tanpa sokongan media, dia tidak mungkin dapat memperbaiki diri serta memperbetulkan keadaan dan kekurangan yang ada.

Jelasnya lagi, media yang membantu untuk menjenamakan Amanda Imani dan memberi persepsi kepada peminat. Tanpa media dan peminat, Amanda tidak berdaya untuk terus berjuang sebagai anak seni.

Mungkin sebagai bukti dia bukan ‘kekwat’, Amanda lebih gemar mengurus laman sosialnya sendiri tanpa bantuan sesiapa. Hampir setiap hari dia akan berinteraksi dengan peminat melalui laman Twitter dan Facebook.

“Dalam laman sosial, saya lebih suka berinteraksi terus terang dengan peminat dan sahabat maya. Mereka boleh bertanya apa-apa sahaja mengenai aktiviti seharian dan perkembangan terbaru.

“Malah jika mereka ada maklum balas atau komen serta pendapat yang ingin dinyatakan, saya sentiasa membuka ruang. Kritikan dan komentar mereka sebenarnya banyak membantu saya membuat keputusan,” katanya bersyukur dengan sokongan peminat.

Dalam setiap kejayaan seseorang pasti ada insan lain yang bergerak sebagai tulang belakang. Siapa lagi kalau bukan ibu tercinta, Nina Hamzah. Dialah ibu, dialah pengurus dan dialah sahabat. Penawar di kala duka, penghibur di kala suka.

Ke mana sahaja Amanda Imani berada, di situ Nina Hamzah pasti ada. Sekali pandang, mereka persis adik dan kakak. Keakraban mereka pasti mengundang cemburu mana-mana pasangan ibu dan anak. Tapi itulah keistimewaan dan kelebihan Amanda dek kehadiran ibu yang manja disapa ‘Mama’, perjalanan seninya lebih licin dan teratur.

“Mama bukan sahaja pengurus saya, malah dia juga bertindak sebagai jurulatih.
Kebanyakan keputusan datang daripada saya sendiri, pun begitu saya akan berbincang dengan Mama terlebih dahulu.

“Saya tidak pernah rasa diri dikongkong. Mama banyak membimbing saya untuk membuat keputusan. Apabila bekerja kami sangat profesional dan tidak mencampur aduk hal peribadi.

“Saya suka bila Mama ada di sini. Kami memang rapat dan saya boleh bercakap mengenai apa-apa sahaja,” katanya namun menolak dakwaan dia seolah ‘anak emak’ sehingga tidak dapat berdikari di atas dua kakinya sendiri.

Tegasnya ada ketika dia perlu berdiri sendiri dan bebas membuat keputusan. Pun begitu, sebagai anak dikandung si ibu sembilan bulan sepuluh hari, kemudian ditatang penuh kasih sayang sehingga dewasa, Amanda menyanjung tinggi dan bersyukur kerana dianugerahkan seorang ibu yang memahami minat dan impiannya.

Biarpun bakal mencecah 20 tahun tanggal 30 Disember ini, Amanda jelas matang daripada segi usia. Masih banyak harapan terbilang yang masih belum terlaksana.
Antara niat terbuku ialah usaha kolaborasi dengan artis luar negara untuk projek single terbarunya.

Perjalanan itu masih jauh jika benar dihitung, tapi cakap-cakap kosong ibarat diam ubi yang berisi, Amanda dalam usaha untuk mencapai persetujuan untuk melebarkan sayap ke destinasi Asia lain.

Sambutan terhadap lagu Selamilah Cinta dan single Inggeris I’m Free sudah mula berkumandang di Singapura malah di Filipina. Tatkala cuba mengorek lebih mendalam siapakah artis Asia yang mahu dilamar gadis manja ini, dia masih berahsia. Mungkin tiba masanya nanti, Amanda berjanji tidak akan berselindung.

Rugi kiranya celoteh hampir sejam SELEBRITI bersama Amanda Imani tidak disapa mengenai pengisian Ramadan yang sudahpun menjengah minggu ke-2.

“Bulan ini saya lebih banyak meluangkan masa di rumah. Tambahan pula kolej sedang bercuti dan inilah masa yang sesuai untuk kita berehat. Pun begitu tidak bermakna saya menolak tawaran persembahan.

“Saya ada juga menerima tawaran untuk membuat persembahan sempena majlis berbuka puasa. Walaupun tidak banyak tapi saya tetap penuhi undangan penganjur dan peminat,” jelasnya yang baharu saja memenuhi undangan nyanyian sempena majlis berbuka puasa anjuran Muzik FM minggu lalu.

Pemegang tali pinggang hitam taekwondo yang mempunyai hobi suka menunggang kuda ini juga terpaksa menolak tawaran menyertai pertandingan nyanyian yang bermula 1 Ramadan lalu. Pertandingan nyanyian The Champions Leagues yang seakan pertandingan sama di Bulgaria itu diadakan di Drasov, Romania berlangsung selama seminggu.

Jika Amanda tetap menerima tawaran itu, dia terpaksa mengorbankan waktu dan permulaan puasa demi pertandingan itu. Sebab Amanda jelas, dia tidak mahu mengorbankan tempoh seminggu puasa yang sepatutnya diluangkan di negara sendiri.

“Saya suka berbuka dengan makanan pedas. Sambal atau cili padi mesti ada sebagai pembuka selera. Kebanyakan waktu berbuka saya di rumah bersama keluarga, ia lebih menarik dan menambah selera,” kata Amanda yang suka ikan bakar cicah air asam dimakan bersama ayam masak merah atau ayam percik sebagai menu berbuka.

P/S: Untung badan...xmcm Fdk...huhuhuhu ='(